Beaufort: Tindakan agresif seorang lelaki memaksa pasukan polis melepaskan dua das tembakan untuk memberhentikan kenderaannya selepas cuba melanggar anggota polis ketika diperiksa, semalam.
Dalam kejadian di kawasan kebun getah, Batu Abai, Kuala Penyu, itu, lelaki berusia 57 tahun yang memandu Perodua Myvi ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dijalankan, suspek tiba-tiba bertindak agresif mengundur kereta dan cuba melanggar anggota polis.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Yaacob berkata, anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kereta suspek.
Katanya, suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk dan lalok dadah terpaksa menghentikan kenderaan dan terus cuba melarikan diri.
“Suspek akhirnya berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan dengan anggota polis bertugas.
“Soal siasat mendapati suspek mengaku ketakutan ketika diminta berhenti kerana baru saja menagih syabu dan berada dalam keadaan mabuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yusoff Zaki berkata, pemeriksaan lanjut menemui sebilah pisau dan parang yang disimpan di dalam kenderaan suspek.
Katanya, siasatan awal mendapati, suspek turut mempunyai lima kes jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1858,” katanya.
Tamat







