Pengaruh Dadah, Lelaki Pecahkan Harta Benda Ditahan.

Beaufort: Seorang penjawat awam yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah mengamuk sebelum bertindak memecahkan harta benda awam, di pekan Kuala Penyu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, suspek berusia 50 tahun itu dikatakan bertindak memecahkan pasu bunga dan merosakkan perhiasan landskap menggunakan besi serta kayu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek disyaki bertindak sedemikian selepas berada dibawah pengaruh dadah jenis syabu.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada abang suspek yang memaklumkan kejadian itu sebelum tindakan lanjut diambil.

“Suspek akhirnya berjaya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batu 3, Kuala Penyu, di sini, kira-kira jam 3.30 petang, hari yang sama,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, sebaik ditahan, siasatan lanjut terus dilakukan termasuk mengarahkan suspek menjalani ujian saringan air kencing.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek juga adalah penjawat awam dan tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Tamat