
Kota Kinabalu: Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di Penampang dan Putatan diduduki hanya seramai 37 mangsa selepas kebanyakan lokasi banjir beransur pulih.
Antara pusat pemindahan berkenaan adalah PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang, PPS Dewan Sri Serigai dan PPS Dewan Sri Keramat.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya berkata, setakat jam 5 petang, hari ini, mangsa yang masih ditempatkan di pusat berkenaan hanya membabitkan 10 lelaki, 12 wanita dan 15 kanak-kanak.
Katanya, semua mangsa daripada 10 keluarga itu membabitkan lapan keluarga dar daerah Penampang manakala dua keluarga lagi tinggal di kawasan Putatan.
“Selain itu, sekretariat merekodkan hanya 26 kawasan yang masih terjejas ekoran tanah runtuh dan banjir di daerah Penampang
“Kita turut merekodkan hanya dua kawasan yang masih dinaiki air di daerah Putatan,” katanya.
Menurutnya, sekretariat juga turut merekodkan tiga kejadian tanah runtuh bagi daerah Kota Kinabalu.
Tamat



