Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob, meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau yang sebelum ini, Ketua Penerangan Warisan berkata, tindakan itu diambil atas dasar membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan daerah Sipitang.
Katanya, ia juga bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan berkenaan.
“Tindakan saya ini keputusan peribadi tanpa tekanan atau pengaruh sesiapa. Saya mahu fokus bekerja untuk rakyat yang saya wakili.
“Bukan hanya teriak-teriak di kedai kopi tetapi tiada apa-apa dilakukan untuk rakyat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Yusof berkata, keputusannya itu sudah dibincangkan dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan tiada halangan untuknya berbuat demikian.
“Kami berbincang sebagai sahabat, beliau tiada halangan kerana dalam politik begitulah keadaannya, hari ini berkawan esok berpisah.
“Saya secara peribadi tidak mahu bermusuh dengan sesiapa, saya mahu jaga rakyat mahu jaga negeri Sabah.
“Saya dengan Warisan tiada masalah dan bersikap terbuka, saya bersedia dengan apa-apa tindakan selepas ini. Saya juga akan memberi surat makluman kepada Speaker DUN,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Yusof, 66, menang kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru.
Yusof sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.
Tamat





