Lima suspek pecah rumah diburu.

Kota Kinabalu: Lima penjenayah yang dipercayai terbabit dalam 11 kes pecah rumah di sekitar bandaraya sepanjang tahun ini diburu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan, pihaknya percaya kumpulan penjenayah terbabit dalam kes pecah rumah dan peti besi membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Katanya, berdasarkan siasatan dijalankan, kumpulan berkenaan dipercayai menaiki kereta berwarna gelap ini melakukan jenayah dengan mengenakan pakaian serba gelap iaitu ‘hoodie’ dan memakai pelitup muka.

“Kita percaya kumpulan ini melakukan perancangan rapi sebelum jenayah kumpulan berkenaan dijalankan.

“Mereka dipercayai mengenalpasti keadaan rumah, jalan keluar masuk dan sistem keselamatan rumah termasuk kamera litar tertutup (CCTV) sekitar perumahan berkenaan sebelum melakukan jenayah,” katanya.

Mohd Zaidi berkata demikian pada sidang media selepas sesi Dialog Keselamatan PDRM bersama JPPM, Ketua Kampung, ARS dan KRT sekitar bandaraya ini, di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kes terbaru dilaporkan berlaku baru-baru ini di kawasan perumahan Lido, di sini, ketika pemilik rumah berada di daerah Tawau.

Katanya, kumpulan penjenayah terbabit didapati bertindak merosakkan sistem CCTV rumah mangsa sebelum melarikan barangan berharga.

“Antara kerugian yang dialami mangsa adalah kehilangan wang tunai sebanyak RM500,000 termasuk matawang asing, jam tangan berjenama Rolex dan beberapa lagi barangan berharga.

“Berdasarkan laporan kes pecah sebelum ini, adalah juga laporan menyatakan kehilangan sepucuk pistol,” katanya.

Menurutnya, kumpulan berkenaan sudah dikenalpasti dan usaha memburu semua suspek sedang giat dijalankan.

Tamat