Kota Kinabalu: Tiada sebarang organ dalaman daripada jenazah seorang warga Indonesia di ambil oleh pihak hospital.
Perkara itu disahkan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang menafikan organ dalaman berkenaan diambil ketika bedah siasat sebelum mayat dihantar pulang ke negara berkenaan.
Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya menafikan berita yang disiarkan sebuah stesen televisyen negara itu sebelum disebarkan di laman YouTube sejak kelmarin.
Katanya, pesakit yang dikenali sebagai Saidiman Hamal, 38 tahun itu ditemui mati di atas kapal pada 1 Disember lalu sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat.
Katanya, bedah siasat dijalankan atas arahan pihak polis dan ia adalah prosedur yang perlu dilakukan bagi semua kes kematian yang dibawa ke hospital atau Brought In Daed (BID).
“Pihak hospital dimaklumkan oleh pihak polis bahawa pesakit ini tidak mempunyai waris terdekat di Malaysia. Walaubagaimanapun, pihak polis berjaya mengesan beberapa orang yang mengaku saudaranya.
“Pegawai Perubatan Forensik yang mengendalikan bedah siasat juga sudah menerangkan kepada saudara pesakit terbabit bahawa beberapa sampel tisu kecil dari organ akan diambil untuk dibawa ke makmal untuk menentukan punca kematian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rose Nani berkata, tiada organ pesakit yang diambil seperti mana yang didakwa dan setiap sampel yang diambil adalah berukuran dalam lingkungan 1 inci persegi.
“Punca kematian adalah jangkitan paru-paru dengan sakit jantung (Pneumonia with ischemic heart disease).
“Pihak majikan mangsa kemudian menguruskan untuk membawa jenazah kembali ke negara asal dan mayat pesakit diberikan kepada saudara pesakit serta syarikat pengurusan jenazah 3M pada 17 Disember lalu,” katanya.
Menurutnya, jenazah juga dibawa ke masjid untuk dimandikan dan dikafankan sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan selamat tiba di Indonesia pada 20 Disember lalu.
“Kita merasa simpati kepada ahli keluarga pesakit dan semua urusan bedah siasat serta proses pengembalian mayat kepada ahli keluarga dibuat mengikut kepada garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Tamat






