Kota Kinabalu: Dua gegaran selama beberapa saat mengejut ratusan kakitangan pelbagai agensi di Wisma Dang Bandang, di sini, apabila semua bergegas turun menyelamatkan diri, hari ini.
Gegaran yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu, menyebabkan semua pekerja di bangunan berkenaan terus keluar untuk berkumpul di tempat selamat.
Difahamkan, gegaran itu turut mengakibatkan runtuhan siling di bilik mesyuarat sebuah agensi kerajaan di tingkat 11 bangunan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman kejadian berkenaan pada jam 3.32 petang.
Katanya, semua orang awam diarahkan untuk terus di tempat berkumpul selamat di pekarangan bangunan berkenaan sementara pemantauan dijalankan.
“Setakat ini tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian juga masih belum dapat dikenalpasti.
“Mengikut laporan diterima, berlaku dua gegaran yang dipisahkan dengan hanya beberapa saat. Kita dimaklumkan, gegaran pertama lebih kuat berbanding gegaran kedua,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tamat






