Oleh JAMES LEONG
SEMPORNA: Tiga individu cedera, termasuk seorang parah, selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh penghadang jalan besi di Kampung Bubul Laut, di sini, awal pagi Ahad.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 6.53 pagi sebelum sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Musliady Masiraji, dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian, iaitu pada jam 6.58 pagi, yang terletak sekitar dua kilometer dari balai.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kereta terbabas dari jalan sebelum merempuh penghadang jalan besi, dengan tiga mangsa terbabit dalam kejadian.
Dua mangsa, masing-masing seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan lelaki berusia lingkungan 20-an, mengalami kecederaan ringan, manakala seorang wanita berusia 57 tahun mengalami kecederaan kritikal.
Pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Musliady berkata, operasi ditamatkan pada jam 7.28 pagi selepas pemeriksaan akhir mendapati tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

NAHAS… Anggota bomba memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Bubul Laut, Semporna, pagi Ahad.





