Sabah Sasar 651,610 Penyertaan Hari Sukan Negara 2026

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah menyasarkan penyertaan seramai 651,610 orang pada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 yang akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 10 Oktober depan.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sasaran berkenaan bersamaan 17 peratus daripada jumlah penduduk Sabah yang kini dianggarkan seramai 3.833 juta orang.
Katanya, pencapaian sasaran itu memerlukan kerjasama strategik semua kementerian, agensi serta jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan kemeriahan HSN dapat disemarakkan dan dirasai oleh seluruh rakyat Sabah.
“Saya amat mengharapkan penganjuran HSN di Negeri Sabah pada tahun ini akan mencapai sasaran penyertaan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk HSN Peringkat Kebangsaan iaitu seramai 651,610 orang.
“Sasaran ini diharapkan dapat dicapai melalui kerjasama strategik di setiap kementerian, agensi dan jabatan kerajaan negeri serta Persekutuan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Menurutnya, antara penyumbang terbesar kepada jumlah penyertaan HSN di Sabah pada setiap tahun ialah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menerusi penganjuran aktiviti sukan di peringkat sekolah.
Katanya, penyertaan turut diperkukuhkan melalui penganjuran aktiviti sukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah di setiap daerah, selain Jabatan Kesihatan dan hospital di seluruh daerah serta pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, persatuan dan kelab sukan.
Dalam pada itu, Nizam berkata Jawatankuasa Induk HSN Peringkat Negeri Sabah pada tahun ini mengambil pendekatan berbeza dengan mencadangkan lokasi penganjuran HSN peringkat negeri diadakan di daerah Tuaran.
Katanya, sebelum ini penganjuran HSN peringkat negeri lazimnya diadakan di bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Keningau.
“Pada tahun ini kita mencadangkan agar pelaksanaan HSN Peringkat Negeri diadakan di luar Bandaraya Kota Kinabalu iaitu di Daerah Tuaran.
“Adalah diharapkan agar segala persiapan dapat dibuat dengan lancar oleh pihak yang berkenaan,” katanya.
Selain sambutan di peringkat negeri, beliau berkata HSN turut akan dilaksanakan secara serentak di lima bahagian iaitu Tawau, Sandakan, Beaufort, Kudat dan Keningau.
Sehubungan itu, Nizam turut menyeru semua ahli Jawatankuasa Induk HSN Peringkat Negeri Sabah supaya memberikan komitmen, tenaga dan idea dalam menggerakkan segala usaha bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.
“Saya mohon kepada semua ahli mesyuarat yang merupakan Ahli Jawatankuasa Induk Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah dapat memberi sumbangan tenaga dan idea ke arah menggerakkan segala usaha bagi memastikan jawatankuasa ini dapat mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan,” katanya.
Penganjuran HSN 2026 di Sabah diharap dapat menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat selain memperkukuh semangat perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan rakyat melalui aktiviti sukan di seluruh negeri.

MESYUARAT …. Nizam mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk HSN 2026 Peringkat Negeri Sabah.