Pengguna perlu bersiap sedia hadapi kesan kenaikan tarif oleh AS

KOTA KINABALU: Pengguna perlu bersedia hadapi kesan rantaian ekonomi akibat kenaikan tarif 24 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia.
Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah), David Chan berkata, pengumuman oleh Amerika Syarika ke atas import dari Malaysia merupakan satu perubahan paradigma dan titik perubahan besar dalam landskap ekonomi global. 
“Langkah ini dijangka mencetuskan kesan rantaian yang kuat dan memberi impak besar kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia.
“Beberapa industri utama yang bergantung kepada eksport ke Amerika Syarikat dijangka terjejas, khususnya dalam operasi pengeluaran mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ia boleh membawa kepada pengurangan pengeluaran, pengurangan tenaga kerja dan dalam sesetengah kes kehilangan pekerjaan. 
Justeru itu katanya, pengguna di Malaysia perlu bersiap sedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
“Yayasan Pengguna Negara menyeru semua rakyat Malaysia agar berwaspada dan bijak dalam menguruskan kewangan, khususnya dengan mengelakkan perbelanjaan mewah yang tidak perlu pada waktu yang mencabar ini. 
“Setiap ringgit yang dijimatkan hari ini mungkin sangat penting untuk masa depan.
“Walaupun kami yakin kerajaan Malaysia dan pihak berkaitan akan mengambil langkah diplomatik dan ekonomi yang sewajarnya, kesedaran dan persediaan pengguna juga sangat penting untuk memastikan kita dapat menghadapi situasi ini dengan tenang dan rasional,” katanya.
David menyeru para pengguna untuk bersatu, kekal peka dan membuat keputusan berhemah dalam perbelanjaan harian. 
“Bersama-sama kita mampu mengharungi cabaran ekonomi ini dan bangkit lebih kukuh sebagai sebuah negara,” katanya.

DAVID CHAN