PAPAR: Usaha memperkasa amalan pertanian berkualiti melalui pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) perlu diperluaskan bagi menjamin keselamatan makanan serta meningkatkan nilai hasil tempatan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kejayaan pengusaha tanaman fertigasi dan hidroponik, Owan’s Farm di Kampung Buang Sayang, di sini, yang memperoleh pensijilan MyGAP wajar dijadikan contoh oleh pengusaha lain.
Menurutnya, pensijilan tersebut membuktikan hasil pertanian yang dihasilkan mematuhi piawaian ketat termasuk penggunaan bahan kimia secara minimum serta amalan mesra alam.
“Ini bermaksud hasil ladang ini menepati amalan pertanian baik, termasuk penggunaan racun kimia yang terkawal, lebih mesra alam dan selamat dimakan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke ladang berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan itu perlu diperluaskan dan dijadikan penanda aras kepada pengusaha lain di Sabah.
“Usaha ini perlu kita kembangkan. Pada masa sama, masyarakat juga perlu dididik supaya memilih sumber makanan yang telah disahkan oleh Jabatan Pertanian atau kementerian,” katanya.
Menurutnya, langkah itu penting dalam meningkatkan kesedaran pengguna terhadap aspek kualiti dan keselamatan makanan.
“Ia merupakan proses berterusan bagi mendidik masyarakat agar lebih menghargai kualiti serta hasil pertanian premium,” katanya.
Jamawi berkata, kementeriannya akan terus menyokong usaha pengusaha tempatan termasuk dalam sektor hidroponik dan fertigasi.
“Saya bercadang menghimpunkan lebih ramai penggiat serta pengusaha hidroponik dan fertigasi di Sabah bagi mengadakan sesi libat urus,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu mampu membantu memasarkan hasil pertanian pada harga lebih baik berbanding kaedah tradisional.
Dalam pada itu, beliau berkata aspek biosekuriti terus diperkukuh bagi melindungi industri pertanian tempatan.
“Kita telah memperketat penguatkuasaan biosekuriti, khususnya terhadap hasil pertanian import,” katanya.
Namun, beliau mengakui masih berlaku aktiviti penyeludupan produk pertanian yang menjejaskan pasaran tempatan.
“Terdapat lambakan hasil pertanian import pada harga murah yang memberi kesan kepada pendapatan petani tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan kerjasama lebih erat antara agensi penguat kuasa.
“Kita perlu bekerjasama dengan Kastam, agensi berkaitan, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin serta pihak polis bagi membendung perkara ini,” katanya.
Jamawi berkata, usaha bersepadu itu penting bagi memastikan kualiti makanan terus terjamin di samping melindungi pendapatan petani tempatan di Sabah.
Turut hadir Pengerusi Owan’s Farm, Datuk Haji Awang Buhtaman Haji Awang Mahmun; Timbalan Setiausaha Tetap I MAFFI, Awang Dzulkernain Awang Hassan; serta Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian, Jackson R. Jaimi.-Oleh JOHN TAMBANAN.

TAKLIMAT …. Jamawi (kanan) mendengar taklimat mengenai tanaman hidroponik salad daripada Penyelia Owan’s Farm, Mohd Ikmal Zuhairi Ismadi.






