Sabah catat pertumbuhan 4.1 peratus ketibaan pelawat

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Ketibaan pelawat ke Sabah bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, sehingga Ogos 2026, Sabah merekodkan 2.6 juta ketibaan pelawat, terdiri daripada 1.1 juta atau 43 peratus pelawat antarabangsa dan 1.5 juta atau 57 peratus pelawat domestik.
“Angka ini jelas menunjukkan bahawa Sabah terus menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya dalam ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, pada Majlis Malam Gala dan Ritma Kinabalu 2026 di Padang Merdeka, di sini, Sabtu lalu.
Menurut Hajiji, China kekal sebagai pasaran antarabangsa utama dengan merekodkan 578,681 ketibaan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, disusuli perkembangan positif dari Singapura, Australia dan Eropah.
Katanya, pasaran Jepun turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan susulan semakan semula nasihat perjalanan, manakala peningkatan ketibaan pelawat dari Itali dan Sepanyol pada Ogos mencerminkan daya tarikan Sabah yang semakin kukuh dalam kalangan pelancong Eropah.
“Perkembangan ini memberi keyakinan bahawa Sabah mempunyai potensi besar untuk terus memperluas jangkauan ke pasaran antarabangsa, khususnya dengan sokongan rangkaian dan ketersambungan penerbangan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, pasaran domestik yang meningkat 2.1 peratus terus menjadi tonggak penting kepada industri pelancongan negeri.
Bagaimanapun, Hajiji berkata isu tambang dan ketersediaan penerbangan masih perlu ditangani kerana kedua-duanya boleh mempengaruhi keputusan pelancong untuk berkunjung ke Sabah serta daya saing negeri berbanding destinasi lain.
“Justeru, aspek ketersambungan udara perlu terus diberikan perhatian agar potensi besar sektor pelancongan Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Hajiji turut yakin sasaran empat juta ketibaan pelawat ke Sabah tahun ini mampu dicapai, dengan pencapaian setakat Ogos sudah mencecah kira-kira 64 peratus daripada sasaran berkenaan.
Katanya, Sabah memerlukan tambahan kira-kira 1.44 juta ketibaan bagi tempoh September hingga Disember, bersamaan purata sekitar 361,000 pelawat sebulan.
“Saya percaya sasaran ini mampu dicapai sekiranya momentum sedia ada terus diperkukuh melalui promosi yang lebih berkesan, peningkatan ketersambungan penerbangan serta kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Mengenai Malam Gala dan Ritma Kinabalu 2026 yang memasuki edisi ke-12, beliau berkata program berkenaan menyediakan platform kepada penggiat seni budaya, termasuk kumpulan muzik tradisional dan kontemporari, untuk mempersembahkan karya berkonsepkan muzik Borneo.
Hajiji berkata pelancongan kebudayaan turut menjadi antara tarikan utama yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sabah, selain membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat dan membantu memelihara warisan budaya.
“Marilah kita bersama-sama memperkenalkan kekayaan budaya Sabah kepada dunia, di samping memastikan keasliannya terus terpelihara,” katanya.

TINJAU… Joniston melawat rumah budaya pada Ritma Kinabalu 2026 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.