Oleh FARDY BUNGGA
KOTA MARUDU: Empat rumah dan empat motosika musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Talantang, Jalan Damai, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.19 pagi.
Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 15 kilometer dari BBP Kota Marudu untuk membantu.
“Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan empat rumah jenis separuh kekal dan usaha memadamkan kebakaran terus dilaksanakan segera.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 122 meter dengan tiga pancutan dari sumber air daripada jentera dan air parit.
“Terdapat empat motosikal yang berada di lokasi turut musnah sepenuhnya selepas gagal dipindahkan pemilik,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, pasukan operasi berjaya mengawal api daripada terus merebak pada jam 3.17 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.33 pagi,” katanya.

OPERASI MEMADAM …. Pasukan bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.




