17 rumah musnah terbakar di Kg Dumpil Putatan

Oleh FARDY BUNGGA

PUTATAN: Sekurang-kurangnya 17 rumah dilaporkan musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Dumpil, di sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.59 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 4 kilometer dari BBP Putatan.
“Sebaik tina di lokasi, kebakaran didapati melibatkan 17 rumah jenis tidak kekal berkeluasan keseluruhan 935 meter persegi.
“Pasukan operasi kemudiannya bertindak memadamkan api kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan lima pancutan dari sumber air jentera,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 8.04 pagi dan operasi pemadaman diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca-punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Katanya, operasi turut dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang melibatkan 15 anggota dan jentera.

PADAM KEBAKARAN …. Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan api kebakaran.