Polis tahan dua pekerja asing dalam kes serangan, vandalisme berasingan

Oleh JAMES LEONG


TAWAU: Polis daerah ini berjaya menyelesaikan dua kes jenayah berasingan membabitkan pekerja asing sektor pembinaan susulan tangkapan dalam operasi berturut-turut selama dua hari.
Dalam kes pertama, seorang pekerja asing yang bekerja sebagai tukang cat ditahan pada petang 3 Januari lalu bagi membantu siasatan kes mencederakan serta ugutan bunuh yang berlaku pada September tahun lalu di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam apabila suspek yang tidak dikenali menghampiri mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.
“Suspek dipercayai bertanyakan mengenai individu yang didakwa menyerang abangnya sebelum bertindak agresif dengan menendang mangsa dan melibas dada mangsa menggunakan objek tajam, selain mengeluarkan ugutan bunuh,” katanya.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu diberkas di sebuah rumah di Kampung Air, Batu 4 Jalan Apas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, sehari kemudian pada 4 Januari, polis menahan seorang lagi pekerja asing yang bekerja sebagai tukang baik pulih rumah berhubung kes vandalisme terhadap harta majikan di Kampung Kausing, Disember lalu.
Kerosakan dianggarkan berjumlah RM1,500 melibatkan jubin ruang tamu dan tandas, dinding, sinki serta pintu tandas, yang disedari oleh pemilik rumah berusia 41 tahun.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian akibat rasa tidak puas hati terhadap pembayaran gaji,” jelas Jasmin.
Suspek berusia 40-an itu ditahan di Kampung Air, Batu 4 Jalan Apas. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri di luar batas undang-undang walau apa jua provokasi dihadapi.
“Sebarang perselisihan perlu diselesaikan secara berhemah melalui saluran yang sah. Laporkan segera kepada polis sekiranya berlaku sebarang kejadian jenayah,” katanya.

TAHAN …. Anggota polis Tawau menahan seorang pekerja pembaikan rumah (berseluar pendek) dalam operasi pada 4 Januari lalu.