KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah perlu memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) berhubung pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860).
Setiausaha Agung Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Willie Jude Junaidi berkata, suara yang disampaikan KPPIS bukan isu kecil berkaitan pentadbiran semata-mata, sebaliknya menyentuh soal kedaulatan hak Sabah, kejelasan bidang kuasa serta kelancaran pengurusan keselamatan sempadan negeri.
Menurutnya, Sabah mempunyai kedudukan istimewa dalam hal ehwal imigresen yang dilindungi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, justeru sebarang pelaksanaan dasar baharu perlu mengambil kira hak autonomi negeri secara menyeluruh.
“Kerajaan perlu memandang serius kerisauan yang dibangkitkan KPPIS kerana mereka adalah pihak yang berada di lapangan dan memahami realiti operasi di pintu masuk Sabah setiap hari.
“Jika pegawai sendiri berdepan kekeliruan bidang kuasa dan ketidakpastian SOP, ia boleh memberi kesan kepada kecekapan penguatkuasaan, keselamatan sempadan serta integriti sistem imigresen negeri,” katanya dalam kenyataan.
Willie berkata, pelaksanaan Akta 860 tanpa penjajaran yang jelas dengan peruntukan MA63 berpotensi mewujudkan pertindihan kuasa antara agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja boleh menimbulkan konflik pentadbiran, malah meletakkan pegawai penguat kuasa dalam risiko tindakan perundangan ketika menjalankan tugas.
“Sabah bukan menolak kerjasama dengan Persekutuan, tetapi apa yang dibimbangkan adalah sebarang akta baharu yang boleh menjejaskan hak sedia ada negeri tanpa rundingan menyeluruh.
“Autonomi imigresen Sabah adalah sebahagian daripada asas pembentukan Malaysia dan ia tidak boleh dipandang ringan atau diketepikan atas alasan penyelarasan pentadbiran,” katanya.
Beliau turut menyokong langkah KPPIS yang menggunakan saluran rundingan rasmi dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi menyuarakan isu berkenaan secara profesional.
Menurutnya, pendekatan melalui dialog dan representasi rasmi adalah langkah matang yang wajar diberi perhatian oleh pihak pembuat dasar.
“Kerajaan perlu segera mengadakan libat urus menyeluruh bersama Kerajaan Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kesatuan pegawai dan pakar perundangan supaya sebarang pelaksanaan akta dapat diperjelaskan tanpa menimbulkan kekeliruan di peringkat operasi.
“Dalam soal melibatkan hak Sabah, kerajaan perlu memastikan setiap dasar baharu benar-benar menghormati semangat MA63 serta menjaga kepentingan rakyat dan penjawat awam di negeri ini,” katanya.JT

Foto – Willie Jude





