Oleh JOHN TAMBANAN
PUTATAN: Aktiviti riadah setempat bukan sahaja berupaya mengukuhkan perpaduan masyarakat, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada penjanaan idea bagi mempelbagaikan sumber ekonomi di peringkat lokaliti.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kekuatan komuniti yang terbina menerusi aktiviti riadah dapat diterjemahkan melalui pelbagai medium ke arah membentuk masyarakat yang berdaya saing pada masa hadapan.
“Banyak aktiviti riadah memberi impak langsung kepada komuniti setempat, malah ada yang mampu menjana atau menambah pendapatan.
“Melalui ikatan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat, kepelbagaian idea akan lahir untuk memacu ekonomi baharu berasaskan aktiviti riadah itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ramah mesra bersama peserta Jom Memancing di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru, di sini, malam Sabtu.
Program yang disertai kira-kira 50 peserta itu dianjurkan oleh Kelab Komuniti Belia Tanjung Aru dengan kerjasama Belia Masjid Al-Khauthar, Tanjung Aru.
Mengulas penganjuran program tersebut, Shahelmey berkata ia merupakan satu wadah berbeza yang berpotensi menarik minat bukan sahaja kaki pancing tempatan, malah pelancong.
“Aktiviti yang dianjurkan oleh komuniti belia di sini adalah satu usaha yang memberangsangkan dan selari dengan trend semasa melibatkan minat serta riadah.
“Lokasi strategik seperti Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru ini bukan sahaja menarik minat pemancing, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir dalam program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Pegawai Khas (Pentadbiran dan Operasi) Parlimen P.173 Putatan, Mahadzir Abd Majid serta Pengerusi Kelab Komuniti Belia Tanjung Aru, Mohd Shukry Abdul Kadir.

ALBUM …. Shahelmey (tengah) selepas merasmikan program ramah mesra bersama peserta Jom Memancing di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru, malam Sabtu.








