Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Syarikat-syarikat besar di Sabah digesa membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk berkembang serta turut mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha memperkukuh hubungan perniagaan antara syarikat besar dengan perusahaan tempatan mampu mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi di Sabah, selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas.
“Ketika syarikat-syarikat besar mengembangkan operasi masing-masing, saya menggalakkan mereka supaya membuka lebih banyak peluang kepada pembekal tempatan, penyedia perkhidmatan dan usahawan baharu.
“Dengan memperkukuh hubungan perniagaan ini, kita dapat mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi di Sabah serta membolehkan lebih banyak perusahaan tempatan turut mengambil bahagian dalam pembangunan negeri,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun pada majlis Anugerah Sin Chew Sabah Business Builder di Grand Palace Ballroom, Restoran Port View Seafood, Tanjung Lipat, di sini, malam Khamis.
Hajiji berkata, sektor swasta yang kukuh dan dinamik amat penting dalam memacu kemajuan Sabah, manakala Kerajaan Negeri kekal komited mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, berdaya saing dan mesra pelabur bagi menggalakkan syarikat serta pelabur memulakan dan mengembangkan operasi di negeri ini.
Katanya, kerajaan turut menyedari bahawa penambahbaikan infrastruktur dan kesalinghubungan, pengukuhan perkhidmatan asas, pemudahcaraan pelaburan serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran merupakan asas penting untuk meningkatkan keyakinan sektor perniagaan dan menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Kerajaan tidak mampu mencapai matlamat ini secara bersendirian. Kita memerlukan penyertaan, idea dan kerjasama daripada usahawan, pelabur, persatuan industri serta pemimpin masyarakat,” katanya.
Menurutnya, kekayaan sumber asli Sabah, tanah pertanian yang subur, biodiversiti yang luar biasa serta kedudukan strategik negeri ini menawarkan peluang besar kepada sektor perniagaan untuk menjana nilai ekonomi yang mampan dalam pelbagai bidang.
“Tugas kita adalah menterjemahkan segala kekuatan ini kepada kemakmuran yang lebih meluas dan inklusif.
“Kita mesti menggalakkan lebih banyak aktiviti nilai tambah, memperkukuh perusahaan tempatan serta memastikan pertumbuhan ekonomi mewujudkan peluang bermakna bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga di pekan kecil dan komuniti luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menggesa majikan supaya memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan dan latihan menerusi program latihan amali, perantisan, latihan teknikal serta pendedahan industri bagi membantu lebih ramai anak Sabah membina kerjaya yang baik dan bermakna di negeri sendiri.
Beliau turut menggalakkan golongan muda menceburi bidang keusahawanan, memanfaatkan teknologi serta menghasilkan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan Sabah dan berpotensi bersaing di luar negeri.
“Kemajuan akhirnya tidak seharusnya diukur berdasarkan saiz ekonomi semata-mata, tetapi juga melalui peluang yang tersedia kepada rakyat serta peningkatan kualiti hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata, setiap perniagaan baharu yang diwujudkan, pelaburan produktif yang dilaksanakan dan peluang pekerjaan bermakna yang dicipta akan membawa Sabah semakin hampir kepada visi Sabah Maju Jaya untuk menjadi negeri yang lebih makmur, berdaya saing dan inklusif.
Sementara itu, Hajiji memuji Sin Chew Daily atas penganjuran majlis anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan kepada usahawan, penggerak perniagaan dan pemimpin masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah serta kesejahteraan rakyat.
Beliau berharap akhbar berkenaan akan terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara kerajaan, komuniti perniagaan dan rakyat.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah serta menggesa mereka supaya terus berinovasi, memperkukuh perniagaan, membangunkan bakat tempatan dan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat yang menyokong perjalanan keusahawanan masing-masing.

Ceasar (tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Anugerah Sin Chew Sabah Business Builder.




