BEAUFORT: Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim dan pelajar sekolah apabila menerima sumbangan duit raya serta biskut raya daripada Pengurus Syarikat Tadzmahal Travel & Tours Sdn Bhd, Dato’ Mohd Nasser Migin sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Majlis penuh kemesraan itu diadakan di Rumah Anak-Anak Yatim Al Aman, Beaufort, melibatkan seramai 40 penghuni yang menerima sumbangan ikhlas daripada beliau.
Kehadiran Mohd Nasser bukan sahaja menceriakan suasana, malah menyuntik semangat kasih sayang serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada para pelajar di dua buah sekolah lain iaitu Sekolah Kebangsaan Malawa yang melibatkan 145 pelajar serta Sekolah Kebangsaan Tebobon dengan 69 pelajar sebagai penerima.
Secara keseluruhannya, lebih 250 penerima manfaat menerima sumbangan tersebut, sekali gus menggambarkan komitmen Mohd Nasser dalam menyemarakkan budaya berkongsi rezeki dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat sepanjang Ramadan.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau berkata rezeki yang dikongsi bersama akan membawa keberkatan, selain mengingatkan bahawa anak-anak ini merupakan amanah yang perlu diberi perhatian, sokongan dan kasih sayang.
Menurutnya, sumbangan raya itu bukan sekadar bantuan material, tetapi juga lambang kepedulian masyarakat terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak, khususnya golongan yatim serta pelajar sekolah rendah.

MOGA DIBERKATI …. Mohd Nasser menghulurkan duit raya kepada penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Al Aman.






