Oleh FARDY BUNGGA
PITAS: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menahan tiga lelaki yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan barang kawalan dalam serbuan di kawasan tepi sungai Kampung Mapan-Mapan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, sebanyak 5,000 liter minyak petrol bersubsidi yang dipercayai cuba dihantar ke negara jiran berjaya dirampas.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota dan pegawai dikerah menjalankan operasi serbuan di lokasi.
Susulan itu katanya, tiga lelaki berusia lingkungan 36 hingga 39 tahun ditahan ketika dipercayai sedang memindahkan puluhan tong berisi petrol bersubsidi menggunakan bot di kawasan muara sungai.
“Hasil serbuan, pasukan operasi berjaya merampas kira-kira 5,000 liter petrol bersubsidi, 38 tong drum, tiga buah bot kayu serta enjin dan kelengkapan bot.
“Semua barang rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan keseluruhan bernilai melebihi RM100,000,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Ahmad Amri berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, PPM telah merekodkan 100 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, ia melibatkan 92 tangkapan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25.2 juta.
“Pihak PPM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan dan penyalahgunaan barangan bersubsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
“PPM Sabah akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara,” katanya.

CUBA DISELUDUP …. Tong berisi minyak petrol bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.





