Oleh JOHN TAMBANAN
PAPAR: Projek menaik taraf Muka Sauk Kabang kini mencapai kemajuan fizikal 94 peratus, dengan pelan pecutan selama 21 hari sedang dilaksanakan bagi menyiapkan baki kerja kritikal, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, projek yang dimulakan pada 10 Mac 2025 itu penting dalam memperkukuh daya tahan bekalan air di Papar menerusi peningkatan kapasiti pengambilan air daripada sembilan juta liter kepada 30 juta liter sehari.
“Pengambilan Air Kabang akan berfungsi sebagai sumber air mentah alternatif bagi Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau dan Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS),” katanya selepas meninjau tapak projek itu bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, di sini, Isnin.
Turut hadir wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kawasan Parlimen Papar, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (Pantai Manis).
Armizan berkata, pelaksanaan projek berdepan cabaran cuaca, paras sungai dan kualiti sumber air mentah, termasuk gangguan selama 46 hari akibat masalah saliniti serta 71 hari hujan.
Menurutnya, pelan pecutan kini memasuki peringkat awal membabitkan pengosongan kolam dan pembinaan dinding struktur muka sauk, sebelum kerja pembinaan tapak pam, pemasangan pam, penyambungan paip serta pengujian sistem dilaksanakan.
Beliau berkata, penutupan sementara Muka Sauk Kabang diperlukan sepanjang tempoh kerja, namun LRA Limbahau dan EWSS masih boleh beroperasi menggunakan sumber air mentah dari Muka Sauk Limbahau, tertakluk kepada kualiti air.
“Sekiranya berlaku gangguan, penghantaran air menggunakan lori tangki serta pengisian tangki statik akan diselaraskan di kawasan terjejas.
“Kesulitan ini bersifat sementara, tetapi projek ini perlu disiapkan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air yang lebih berpanjangan pada masa hadapan,” katanya.

TINJAU …. Armizan (lima dari kanan) dan Joachim (empat dari kanan) bersama Ghulam, Pengiran Saifuddin, Juil serta pegawai agensi kerajaan ketika meninjau tapak projek menaik taraf Muka Sauk Kabang.






