Seni dan teknologi perlu dibangunkan secara seimbang

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kemajuan teknologi tidak seharusnya menyebabkan nilai kemanusiaan, keaslian karya dan identiti budaya diketepikan, sebaliknya hubungan antara seni dan teknologi perlu dibangunkan secara seimbang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI), media digital, teknologi audiovisual dan platform komunikasi baharu membuka peluang luas kepada penggiat seni serta industri kreatif untuk meneroka pendekatan dan kaedah penghasilan karya yang lebih inovatif.
Menurutnya, kekuatan seni terletak pada keupayaannya menyentuh pemikiran dan perasaan manusia, manakala teknologi pula menyediakan ruang serta kaedah baharu untuk memperluas pengalaman dan penyampaian sesuatu karya.
“Kita memerlukan generasi pengkarya yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi turut mempunyai asas ilmu, daya pemikiran kritis, kreativiti serta kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK 2026) di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji berkata, Sabah kaya dengan kepelbagaian etnik, bahasa, adat resam, tradisi dan khazanah budaya yang menjadi kekuatan serta identiti negeri ini, justeru warisan berkenaan perlu terus dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, usaha mendokumentasikan, mengkaji, mempersembahkan serta memperkenalkan khazanah seni dan budaya Sabah kepada masyarakat antarabangsa perlu dipergiatkan bagi memastikan warisan itu terus berkembang melalui pendidikan, penyelidikan, pengkaryaan dan inovasi.
Beliau berkata, institusi pengajian tinggi seperti UMS mempunyai peranan penting bukan sahaja sebagai pusat penyebaran ilmu, malah sebagai pemangkin kepada perkembangan pemikiran kreatif, penyelidikan seni dan pemerkasaan budaya tempatan.
Menurutnya, industri kreatif turut mempunyai potensi besar untuk menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi baharu, justeru kerajaan negeri komited menyokong pembangunan modal insan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga memiliki daya kreativiti dan inovasi tinggi menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji berharap PASTIK 2026 menjadi platform untuk membincangkan idea baharu, berkongsi hasil penyelidikan serta meneroka peluang kerjasama yang mampu menyumbang kepada pembangunan seni dan industri kreatif, khususnya di Sabah.
Katanya, penganjuran persidangan antarabangsa seumpama itu turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara institusi akademik, penyelidik dan pengamal industri kerana perkongsian ilmu serta pengalaman merentas sempadan mampu memperkaya perspektif dan membuka ruang penyelidikan yang lebih luas.
Beliau turut menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universitas Sebelas Maret dan UMS yang membuka peluang untuk memperluas jaringan penyelidikan, pertukaran kepakaran, pembangunan program akademik serta penghasilan karya kreatif secara bersama.
Menurutnya, kerjasama itu diharap tidak terhenti setakat pemeteraian dokumen, sebaliknya diterjemahkan kepada pelaksanaan program dan tindakan konkrit yang memberikan impak nyata kepada kedua-dua institusi serta masyarakat.
Dalam pada itu, Hajiji menekankan kepentingan menyediakan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk terbabit secara aktif dalam bidang seni dan teknologi kreatif, sama ada sebagai pencipta, pengkarya, penyelidik mahupun usahawan industri kreatif.
Katanya, bakat golongan muda perlu dibimbing menerusi pendidikan, latihan, pendedahan industri serta peluang menghasilkan karya berkualiti, selain melahirkan generasi yang berani meneroka idea baharu tanpa melupakan akar budaya dan nilai masyarakat sendiri.
Beliau berharap institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti seni terus berganding bahu membangunkan ekosistem seni dan industri kreatif yang lebih dinamik, mampan serta berdaya saing.
Usaha itu, katanya, sekali gus mampu menggerakkan potensi Sabah sebagai antara pusat perkembangan seni, budaya dan kreativiti di rantau ini.

FOTO-PASTIK
PERASMIAN… Isnin mewakili Ketua Menteri melakukan gimik perasmian PASTIK 2026 di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS).