Oleh Wu Vuide
KOTA BELUD: Sabah merekodkan 2.6 juta ketibaan pelawat sehingga Ogos lalu dan kekal di landasan untuk mencapai sasaran empat juta pelawat tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, sasaran berkenaan masih mampu dicapai sekiranya prestasi sektor pelancongan terus diperkukuh pada suku keempat tahun ini.
“Dengan prestasi lebih kukuh pada suku keempat, saya percaya sasaran itu masih boleh dicapai,” katanya.
Daripada jumlah berkenaan, 1.1 juta merupakan pelancong antarabangsa, manakala 1.5 juta lagi pelawat domestik.
Hajiji berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan pertumbuhan sektor pelancongan yang berdaya saing, inklusif dan mampan seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Pelancongan Sabah.
Katanya, pelan berkenaan menyediakan hala tuju yang jelas dalam menangani cabaran termasuk kesalinghubungan penerbangan, perlindungan alam sekitar serta penglibatan masyarakat tempatan secara lebih meluas.
“Pencapaian matlamat ini memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta,” katanya.
“Sabah mempunyai kelebihan luar biasa, daripada pulau dan pantai hinggalah hutan hujan, gunung-ganang, hidupan liar, budaya dan makanan.
“Dengan perancangan yang baik, pengurusan profesional dan pemasaran berkesan, kita boleh memperkenalkan keistimewaan ini kepada lebih ramai pelawat, di samping melindungi alam sekitar dan menghormati komuniti tempatan.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan JSK Mantanani Island Resort, di sini.
Resort bernilai RM160 juta yang terletak di perairan Kota Belud itu mempunyai 84 vila selain kemudahan mesra alam dan disasarkan untuk menarik pelancong yang mencari pengalaman asli.
“Saya mengalu-alukan kerjasama resort ini dengan Wyndham Hotels & Resorts. Hubungannya dengan jenama yang diiktiraf di peringkat global mampu memperkenalkan Mantanani kepada pasaran lebih luas selain menyokong standard penginapan dan perkhidmatan yang tinggi,” katanya.
Hajiji berkata, manfaat sektor pelancongan perlu dirasai bukan hanya oleh pihak resort, malah turut memberi limpahan kepada masyarakat setempat.
“Pelancongan mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran serta membuka ruang kepada usahawan tempatan, pembekal, pengusaha pengangkutan dan perniagaan lain.
“Saya berharap kejayaan resort ini turut dikongsi bersama masyarakat Kota Belud dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Katanya, memastikan masyarakat tempatan mendapat manfaat merupakan elemen penting dalam pembangunan pelancongan mampan serta antara teras agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.
“Kita perlu mengalu-alukan kehadiran pelawat sambil melindungi warisan alam semula jadi dan budaya supaya generasi akan datang terus dapat menikmati keistimewaan Sabah,” katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri sedang memperkemas strategi bagi memperkukuh daya tarikan serta daya tahan sektor pelancongan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
“Tahun Melawat Sabah 2027 bukan sekadar kempen pelancongan, sebaliknya agenda bersama seluruh negeri.
“Kejayaannya bergantung kepada komitmen, kerjasama dan penyertaan aktif semua pihak termasuk kerajaan, pemain industri, sektor swasta, komuniti setempat dan rakyat Sabah.
“Dengan bekerja bersama-sama, kita dapat memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing, mampan dan bertaraf dunia,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Urusan JSK Group of Companies, Datuk Johnny Wong.

Hajiji (kanan) dibawa meninjau kemudahan resort oleh Wong (dua kanan).





