Parit baharu legakan masalah bekalan air pesawah Toboh Baru

Oleh JOHN TAMBANAN


KENINGAU: Pembinaan parit pengairan baharu di Kampung Toboh Baru berjaya mengurangkan masalah bekalan air ke kawasan sawah, sekali gus memberi kelegaan kepada pesawah dan merancakkan semula aktiviti penanaman padi di kawasan berkenaan.
Jurucakap penduduk yang juga pesawah sepenuh masa, Anna Gabriel, berkata penduduk merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, atas keprihatinan beliau dalam membantu memenuhi keperluan komuniti petani.
Beliau turut menghargai komitmen Pemaju Mukim Luagan, Amanshah Osman, Pemaju Mukim Kali, Zairul Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Toboh Baru, Evelyn Mangata, yang memainkan peranan penting merealisasikan pembinaan parit berkenaan.
Menurutnya, parit yang siap dibina membolehkan aliran air ke kawasan sawah lebih lancar dan mencukupi, sekali gus mengurangkan perebutan bekalan air yang sebelum ini sering menjejaskan hasil penanaman padi.
Bagaimanapun, katanya, penduduk masih memerlukan kemudahan asas seperti jalan raya yang lebih sempurna, bekalan elektrik dan bekalan air paip bagi menyokong pembangunan pertanian serta penempatan di kawasan itu.
“Prasarana yang lengkap bukan sahaja memudahkan pengangkutan hasil pertanian ke pasaran, malah menggalakkan pengusahaan semula sawah terbiar serta membuka peluang kepada penduduk membina kediaman berhampiran kawasan sawah,” katanya.
Beliau berkata, pertambahan penduduk menyebabkan Kampung Toboh Baru semakin padat, namun hasrat sebahagian penduduk untuk membina rumah di kawasan berkenaan masih terbatas berikutan kekurangan kemudahan infrastruktur asas.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dan agensi berkaitan dapat meneruskan usaha menyediakan kemudahan asas secara berperingkat bagi memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan.
Anna berkata, penduduk yakin ADUN Liawan akan terus memperjuangkan keperluan masyarakat setempat, khususnya dalam memperkasakan sektor pertanian dan meningkatkan kesejahteraan penduduk kampung.

Parit pengairan baharu di Kampung Toboh Baru melancarkan bekalan air ke kawasan sawah, sekali gus mengurangkan masalah yang dihadapi pesawah.