Kepelbagaian kaum tunjang kekuatan, perlu dipelihara – Joniston

KOTA KINABALU: Kepelbagaian kaum di Sabah merupakan tunjang kekuatan yang perlu dipelihara bagi membina masyarakat yang bersatu padu, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, kepelbagaian agama, etnik, budaya dan bahasa di negeri ini bukan faktor yang memisahkan masyarakat, sebaliknya kekuatan yang perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh perpaduan.
“Inilah keistimewaan Malaysia, khususnya Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian agama, etnik, budaya dan bahasa. Masyarakatnya telah hidup berdampingan sejak sekian lama dengan mengamalkan sikap saling menghormati, memahami dan bertolak ansur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Doa Sayangi Malaysia Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Sri Pasupathinath Alayam Temple, di sini pada Ahad.
Menurut Joniston, nilai kasih sayang, hormat-menghormati, toleransi dan keprihatinan perlu terus disemai dalam kehidupan bermasyarakat kerana kemajuan negara bukan hanya bergantung kepada pembangunan ekonomi, tetapi turut dipengaruhi kekuatan hubungan sesama rakyat.
Katanya, program berkenaan membuktikan semangat patriotisme bukan sekadar diterjemahkan melalui pengibaran Jalur Gemilang, malah dapat dizahirkan menerusi doa, rasa syukur serta kesediaan semua pihak menjaga keamanan dan keharmonian negara.
“Walaupun kita berbeza dari segi cara beribadat dan pegangan agama, kita berkongsi harapan yang sama terhadap tanah air yang menjadi tempat kita hidup, membina keluarga dan mencorakkan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata program berkenaan turut menyediakan ruang kepada penganut agama bukan Islam menzahirkan rasa syukur atas keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang dinikmati rakyat Malaysia melalui upacara doa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.
Joniston berharap program itu diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih meluas, khususnya golongan muda, bagi memastikan nilai toleransi, perpaduan dan saling menghormati terus diwariskan.
Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Mackey Apison Lo; Pengerusi Persatuan Agama Hindu Malaysia Cawangan Majlis Sabah, Datuk Dr G. Mohan A/L Gopal Naidoo; dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) T.C. Goh.

Joniston ketika berucap merasmikan Program Doa Sayangi Malaysia.

Joniston (lima dari kiri) ketika upacara gimik perasmian program.