Polis tumpaskan 12 sindiket ‘calling center’

Seramai 341 individu ditahan di Sabah dan Labuan

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan 12 sindiket pusat panggilan (calling center) yang terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah komersil dan penipuan dalam talian menerusi siri operasi khas sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun berkata, operasi yang dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan oleh Bahagian Risikan Operasi JSJK Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD).
Katanya, usaha itu membawa kepada penahanan seramai 341 individu yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan sindiket berkenaan.
“Sebanyak 12 operasi telah dilaksanakan melibatkan lima daerah iaitu empat serbuan di Kota Kinabalu, tiga di Wilayah Persekutuan Labuan, tiga di Tawau serta masing-masing satu di Sandakan dan Penampang.
“Siasatan mendapati sindiket yang ditumpaskan menjalankan pelbagai aktiviti jenayah termasuk penipuan pelaburan tidak wujud, penipuan saham palsu, love scam, penipuan pinjaman wang tidak wujud, penyamaran sebagai pegawai polis, perjudian dalam talian serta aktiviti menerima dan memindahkan wang hasil penipuan atas talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini.
Jauteh berkata, sindiket terbabit menggunakan pelbagai aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram, Kakao Talk, Line, Band serta platform media sosial lain untuk memperdaya mangsa sebelum mengarahkan mereka membuat transaksi kewangan ke akaun yang dikawal oleh sindiket.
Katanya, mangsa yang menjadi sasaran bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia, malah turut membabitkan warga asing dari Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Brazil, Hong Kong dan Thailand.
“341 individu yang ditahan berusia antara 17 hingga 60 tahun melibatkan 305 adalah lelaki manakala 36 lagi wanita.
“Dari segi kewarganegaraan, seramai 303 suspek merupakan warga China, diikuti 27 warga Malaysia, sembilan warga Vietnam serta masing-masing seorang warga Taiwan dan Laos,” katanya.
Sementara itu, Jauteh berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam operasi sindiket itu termasuk 1,109 unit telefon bimbit, 128 unit komputer dan desktop, 20 komputer riba, 18 modem serta peranti internet, wang tunai berjumlah RM210,265, dokumen kewangan, kad SIM, skrip penipuan, peralatan komunikasi, dokumen transaksi serta uniform dan aksesori yang digunakan untuk tujuan penyamaran.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 1,542 item dirampas dengan nilai anggaran rampasan mencecah lebih RM1.10 juta.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama,” katanya.
Menurut Jauteh, daripada 12 kes yang dibuka, sebanyak 11 kes telah berjaya dituduh di mahkamah manakala satu lagi kes masih dalam siasatan.
Katanya, kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya JSJK Sabah, dalam membanteras kegiatan jenayah komersil dan sindiket calling center yang semakin berleluasa.
“JSJK Sabah akan terus memperhebatkan operasi risikan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan Sabah tidak dijadikan pusat operasi sindiket penipuan tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, pinjaman mudah, urusan percintaan dalam talian serta panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penipuan dan jenayah komersil boleh disalurkan kepada JSJK Sabah menerusi talian 088-454693 atau emel kjsjksbh@rmp.gov.my bagi membantu tindakan penguatkuasaan lanjut,” katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun

Jauteh menunjukkan peranti yang digunakan untuk aktiviti pusat panggilan berkenaan.