Langkah keselamatan dipertingkat susulan buaya dikesan di Pulau Sapi

Oleh Wu Vuide


KOTA KINABALU: Sabah Parks memperketat pemantauan dan kawalan keselamatan di Pulau Sapi susulan penampakan seekor buaya di perairan Pantai B, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR), pada 5 Oktober lalu.
Langkah berkenaan termasuk rondaan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), selain operasi khas bagi mengesan dan memindahkan buaya berkenaan sekiranya berjaya ditemui.
Sabah Parks turut mengarahkan semua pengusaha aktiviti pelancongan air termasuk selam skuba, snorkeling dan sea walking supaya memeriksa kawasan aktiviti sebelum membenarkan pelancong memasuki air.
Aktiviti berenang dan snorkeling secara bersendirian juga tidak dibenarkan dan perlu dilakukan secara berkumpulan.
Selain itu, papan tanda amaran mengenai kehadiran buaya dipasang di kawasan terbabit, manakala pengawal pantai turut memberi peringatan secara berterusan kepada pengunjung.
Pengusaha industri pelancongan di TTAR juga sudah diberi taklimat berkaitan langkah berjaga-jaga dan prosedur keselamatan.
Sabah Parks dan JHLS kini menjalankan operasi khas bagi mengesan buaya berkenaan, termasuk memasang jaring di kawasan dikenal pasti berisiko tinggi.
Jaring itu dipantau rapi bagi memastikan hidupan marin, khususnya penyu, tidak terperangkap, selain membolehkan buaya dipindahkan ke lokasi sesuai sekiranya berjaya ditangkap.
Pemantauan dan langkah berjaga-jaga turut dipertingkatkan di kawasan lain dalam TTAR.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata keselamatan pengunjung kekal menjadi keutamaan kementeriannya.
“Kementerian memandang serius perkara ini. Keselamatan pengunjung adalah keutamaan dan saya sudah mengarahkan Sabah Parks serta Jabatan Hidupan Liar Sabah mengambil semua langkah yang perlu, termasuk meningkatkan pemantauan dan operasi mencari di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai dan pengunjung memberikan kerjasama serta mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan petugas taman dan pengusaha aktiviti air.
Pengunjung juga dinasihatkan supaya segera memaklumkan kepada petugas taman sekiranya ternampak buaya.
Jafry berkata, situasi berkenaan akan terus dipantau, manakala langkah sedia ada akan dikaji semula berdasarkan perkembangan semasa.

GAMBAR tular penampakan buaya Pulau Sapi, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) – gambar tular di laman media sosial