Pelantikan amanah untuk perjuangkan suara rakyat Darau – Razali

Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi menyifatkan pelantikannya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai satu amanah besar untuk terus memperjuangkan suara rakyat, khususnya masyarakat di Darau.
Mohamed Razali, yang lebih dikenali sebagai Datuk Bob, berkata kepercayaan yang diberikan kepadanya bukan sekadar penghormatan, tetapi tanggungjawab yang akan dipikul dengan penuh komitmen.
“Politik bukan pentas mencari kemewahan, tetapi ruang untuk membawa suara rakyat yang kadang-kadang tenggelam dalam hiruk-pikuk percaturan kuasa. Amanah ini saya pikul dengan hati yang rendah diri,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Setiausaha Eksekutif Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata pengalaman turun padang sebelum ini untuk bertemu penduduk, mendengar keluhan dan memahami isu setempat menjadi persiapan penting dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.
“Segala usaha ini adalah untuk Darau—untuk keluarga yang ditemui di jalan kampung, untuk anak muda dengan impian besar dan untuk ibu bapa yang mahukan masa depan lebih terjamin. Darau adalah jiwa perjuangan saya,” katanya.
Menurutnya, kuasa adalah pinjaman yang boleh datang dan pergi pada bila-bila masa, namun tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat akan terus menjadi keutamaan.
“Insya-Allah, suara Darau akan terus bergema di Dewan Undangan Sabah. Terima kasih Darau, amanah ini milik kita bersama,” katanya.
Mohamed Razali, yang juga Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, merupakan seorang daripada enam ADUN Dilantik yang menerima pelantikan tersebut.
Turut dilantik ialah bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin Ken Fong; Datuk Ceasar Mandela Malakun (GRS); Datuk Ir Chin Shu Ying (GRS); Datuk Kasim Razali (GRS) dan Grace Lee Li Mei (PKR).

watikah ….Razali menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.