Lelaki ditemukan meninggal dunia belakang rumah

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di belakang sebuah rumah dalam kejadian di Taman Iramanis, Luyang, di sini, petang semalam.
Mangsa yang belum dikenalpasti identitinya itu ditemui kira-kira jam 5.30 petang oleh orang awam sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik rumah yang memaklumkan penemuan berkenaan.
Katanya, pengadu mendakwa menemui lelaki tidak dikenali terbabit terbaring di belakang rumahnya.
“Siasatan awal, pengadu dimaklumkan jirannya mengenai kehadiran seorang lelaki yang terbaring di kawasan belakang rumahnya.
“Pengadu kemudian bergegas pulang ke rumah sebelum menemui lelaki berkenaan terbaring berhampiran pintu dapur rumahnya dan terus menghubungi polis dan ambulans untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan doktor dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) mengesahkan lelaki terbabit meninggal dunia kira-kira jam 6.34 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada unsur jenayah ditemui pada tubuh mangsa.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sehubungan itu, Syed Lot menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan polis.

MENINGGAL DUNIA …. Mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemui terbaring di belakang rumah pengadu.