KOTA KINABALU: Universiti Terbuka (UT) terus memperkukuh komitmennya menyokong pendidikan anak-anak pekerja migran Indonesia di Sabah melalui program Pengabdian kepada Masyarakat (PkM) Antarabangsa bertajuk “Carrying Values across Borders: Empowering Educators for the Character Building of Migrant Workers’ Children in Sabah, Malaysia.”
Program itu melibatkan Ketua Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), wakil pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Koordinator Penghubung Wilayah Kota Kinabalu dan Sandakan, guru-guru SIKK serta Community Learning Center (CLC), termasuk CLC Ladang Pitas, CLC Cerdas, CLC Kemajuan Inanam, CLC Grace Centre, CLC Cempaka, CLC Langkon dan CLC Hanim.
Program turut disertai Pasukan PkM Antarabangsa UT yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Pendidikan serta Fakulti Undang-Undang, Sains Sosial dan Politik.
Program dikendalikan Novi Eka Saputri, M.Pd. dari UT dan Norafidah dari SIKK, dimulakan dengan bacaan doa oleh Mulyadin sebelum ucapan Ketua SIKK, Sahyuddin, S.Pd., M.A., TESOL.
Sahyuddin menekankan kepentingan memperkukuh identiti keindonesiaan dalam kalangan anak-anak Indonesia di Sabah menerusi gagasan “mengIndonesiakan orang Indonesia di Sabah” sebagai usaha memelihara nilai, budaya dan identiti mereka di luar negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UT atas pelaksanaan PkM Antarabangsa serta kerjasama yang telah terjalin selama tiga tahun.
Koordinator Pasukan PkM Antarabangsa UT, Erna Risnawati, M.Si., berkata rangkaian program berkenaan dilaksanakan secara dalam talian pada Jun sebelum diteruskan secara bersemuka.
Program kemudian dirasmikan Dr. Kadarisman, S.E., M.Pd., mewakili pimpinan UT.
Sebagai rakan kerjasama, UMS turut menyumbang menerusi perkongsian Dr. Nur Farha Binti Shaafi, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, yang membentangkan topik “Komik Pendidikan: Makmal Sains”.
Topik itu memberi pendedahan kepada guru SIKK dan CLC mengenai penggunaan komik sebagai medium pembelajaran yang menarik, mudah difahami dan menyeronokkan, selain membantu menyampaikan ilmu secara kreatif sambil menerapkan nilai karakter dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, Siti Utami Dewi Ningrum, S.S., M.A. dari Pasukan PkM Antarabangsa UT membentangkan bahan “Penggunaan Buku Siri Pendidikan Karakter Berasaskan Tokoh Bangsa sebagai Penguatan Materi Pembelajaran bagi Siswa Diaspora”.
Bahan berkenaan menekankan penggunaan buku dan cerita sebagai medium pembelajaran bagi meningkatkan literasi, selain membantu pelajar diaspora mengenali nilai karakter, budaya dan identiti serta memupuk keyakinan diri dan kecintaan terhadap bangsa Indonesia.
Program turut diserikan dengan pameran karya, tinjauan aktiviti PkM, penyerahan sumbangan bagi menyokong kelestarian hasil program serta pengumuman pemenang oleh Mutia Kamalia Mukhtar, S.T., M.Si.
Tiga penerima penghargaan ialah Aris Setianto dari SIKK, Novian Budi Tama dari CLC Ladang Pitas dan Romi Rullyandi dari CLC Cerdas.
Mewakili penerima penghargaan, Romi Rullyandi berkata program berkenaan amat relevan dengan keperluan pendidikan karakter anak-anak Indonesia di Sabah, selain memberikan ilmu dan pengalaman yang bermanfaat kepada para pendidik.
Koordinator Penghubung Wilayah Kota Kinabalu dan Sandakan, Agus Wahyudi, berharap PkM Antarabangsa UT dapat diteruskan bagi membantu guru SIKK dan CLC meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam menyokong pendidikan anak-anak Indonesia di Sabah.
Pada akhir program, peserta turut berkongsi refleksi mengenai pengalaman dan manfaat yang diperoleh.
Munawir, Guru Pamong CLC Cempaka, berkata program itu memberikan wawasan dan pengalaman yang relevan dalam meningkatkan amalan pembelajaran, yang boleh diterapkan dalam pengajaran bagi memperkukuh pendidikan karakter pelajar.
Melalui program itu, UT terus memperkukuh sumbangannya dalam menyokong pendidikan anak-anak Indonesia di luar negara menerusi peningkatan kapasiti pendidik.
Kerjasama antara UT, SIKK, CLC, UMS dan para pendidik di Sabah diharap terus berkembang bagi menghasilkan pembelajaran yang inovatif, kontekstual serta berorientasikan pengukuhan karakter dan identiti keindonesiaan pelajar diaspora.

PEMENANG …. Penyerahan penghargaan kepada pemenang implementasi “Penggunaan Buku Seri Pendidikan Karakter Berbasis Tokoh Bangsa sebagai Penguatan Materi Pembelajaran bagi Siswa Diaspora”.





