Remaja OKU rentung terperangkap dalam kebakaran

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA MARUDU: Seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Torintidon, Jalan Kampung Lampada, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa lelaki berusia 16 tahun terbabit dikatakan cuba diselamatkan abang kandungnya yang turut mengalami kecederaan melecur.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.23 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 22 kilometer dari BBP Kota Marudu.
“Pasukan operasi berdepan kesukaran untuk sampai di lokasi apabila jentera FRT hanya dapat melalui perjalanan sejauh 14 kilometer sehingga berhampiran SK Lampada.
“Pasukan operasi terpaksa meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan Vigo berikutan keadaan jalan tidak berturap menuju ke kampung berkenaan.
“Setibanya di lokasi pada jam 4.48 pagi, rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 78 meter persegi itu didapati sudah terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Debli berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman dan kerja overhaul menggunakan sumber air daripada paip penduduk kampung.
“Seorang mangsa ditemukan rentung dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seorang lagi mangsa yang melecur sudah dihantar ke hospital sebelum ketibaan bomba,” katanya.

RENTUNG …. Mangsa berusia 16 tahun ditemui rentung sejurus api berjaya dipadamkan.