Oleh FARDY BUNGGA
PAPAR: Seorang remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kejadian di Jalan Beringgis-Kawang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, remaja lelaki berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, hasil siasatan awal mendapati, motosikal Honda Wave yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sedang bergerak menuju ke Beringgis.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa maut yang menaiki motosikal Demak Spark dipercayai keluar dari bahu jalan sebelum membuat pusingan U secara mengejut.
“Akibat tindakan itu, kedua-dua motosikal bertembung dan mengakibatkan penunggang motosikal Demak Spark meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Penunggang Honda Wave pula hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Heryan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Papar.
“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keadaan selamat sebelum melakukan pusingan U bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akinat kecederaan parah di kepala.






