Pelajar Baharu UMSKAL Mesti Berwawasan dan Cipta Pelbagai Kejayaan

LABUAN: Pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) diseru menjadi graduan berwawasan dan berdaya saing bagi menyumbang kepada pembangunan universiti serta negara pada masa hadapan.
Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin berkata, pelajar perlu bijak mengurus masa, akauntabiliti kendiri, teknologi dan kewangan, selain memahami peranan serta hala tuju bidang pengajian masing-masing.
Katanya, keupayaan mengurus emosi serta mengamalkan nilai kemanusiaan turut penting bagi memastikan pelajar kekal relevan, berdaya saing dan mampu menjadi pemimpin yang baik.
“Apa yang pasti, pelajar baharu mesti bijak mengurus masa dengan membezakan perkara yang penting dan mendesak. Pengurusan keutamaan yang tepat pasti dapat mengelakkan tekanan pada saat akhir.
“Paling utama, dalam mendepani era Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin pesat mengubah landskap pekerjaan, mereka tidak boleh leka dengan cabaran kehidupan masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Minggu Suai Mesra Sesi 2026/2027 Kali Ke-32 di Dewan Utama UMSKAL, baru-baru ini.
Seramai 447 pelajar baharu, terdiri daripada 328 pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan 119 pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), menghadiri majlis tersebut.
Prof. Dr. Shamsul Bahari turut mengingatkan pelajar supaya memanfaatkan peluang sepanjang berada di kampus untuk mendalami ilmu, membina jaringan serta mengembangkan potensi diri.
“Di UMSKAL, anda bukan sekadar hadir untuk menimba ilmu, tetapi untuk membina kepimpinan, sahsiah diri dan jaringan persahabatan yang bermakna.
“Manfaatkan setiap detik di UMSKAL, sertai aktiviti yang berfaedah dan jangan takut mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.
Beliau berkata, kehidupan universiti bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya turut menjadi ruang membina sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah sebagai persediaan menghadapi masa depan.

FOTO: Prof. Dr. Shamsul Bahari (empat kanan) bersama pegawai kanan UMSKAL.