Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Mangsa kedua insiden tanah runtuh yang berlaku di Kampung Sarapung, di sini, petang semalam, ditemui meninggal dunia, kelmarin.
Mangsa berusia 97 tahun ditemui oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kira-kira jam 10.30 pagi.
Difahamkan, mangsa ditemui di tingkat bawah rumah separuh kekal dua tingkat yang tertimbus akibat runtuhan tanah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, operasi SAR hari kedua dimulakan pagi tadi (kelmarin) dengan kerja memotong pokok, membersihkan runtuhan serta menggali tanah termasuk menggunakan jengkaut daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, mangsa berjaya ditemui di tingkat bawah rumah sebelum dikeluarkan dan terpaksa dibawa keluar sejauh 750 meter ke kawasan selamat dengan bantuan polis serta penduduk kampung.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Menurutnya, seorang lagi mangsa wanita berusia lingkungan 60-an sebelum ini berjaya menyelamatkan diri dengan cedera ringan dan kini dilaporkan stabil.







