TAWAU: Kerajaan tidak mahu Sabah terus dilabel sebagai negeri yang mempunyai banyak projek sakit, justeru tindakan lebih agresif perlu diambil bagi menangani punca kelewatan pelaksanaan projek pembangunan, terutama membabitkan isu tanah dan prestasi kontraktor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerajaan serius dalam memastikan projek pembangunan yang diluluskan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, berdasarkan taklimat yang diterima sempena Taklimat Pembangunan Infrastruktur Utama Daerah Tawau di Majlis Perbandaran Tawau (MPT), antara punca utama projek sakit dikenal pasti berpunca daripada isu tanah serta kelemahan prestasi kontraktor.
“Saya tidak mahu Sabah ini dilabel sebagai negeri yang mempunyai banyak projek sakit dan kita perlu keluar daripada imej itu.
“Jika isu tanah menjadi punca kelewatan, kita perlu mencari kaedah untuk mempercepatkan proses berkaitan tanah, termasuk menubuhkan jawatankuasa khas yang melibatkan jabatan dan agensi berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas taklimat berkenaan, semalam.
Menurutnya, sebanyak 83 projek pembangunan sedang dilaksanakan di daerah Tawau merangkumi projek yang sedang berjalan dan projek baharu.
Beliau berkata, prestasi pelaksanaan projek di daerah itu setakat ini mencapai 43.68 peratus, lebih tinggi berbanding prestasi peringkat negeri dan nasional.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak di Tawau kerana prestasi yang dicapai lebih baik berbanding purata negeri dan negara.
“Cuma masih terdapat 44 projek di bawah peringkat pra pelaksanaan membabitkan peruntukan kira-kira RM50 juta yang perlu dipercepatkan,” katanya.
Mustapha berkata, semua projek terbabit perlu disegerakan memandangkan tahun kewangan kini sudah memasuki pertengahan tahun dan kerajaan mahu memastikan peruntukan yang disalurkan dapat dibelanjakan sepenuhnya.
Mengulas prestasi kontraktor, beliau berkata, pemantauan lebih ketat perlu dilakukan bagi memastikan hanya kontraktor yang benar-benar berkeupayaan dan kompeten diberikan tanggungjawab melaksanakan projek kerajaan.
Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk menukar kontraktor jika didapati menjadi punca projek terbengkalai atau lewat disiapkan.
“Saya sendiri turun padang melihat projek-projek yang bermasalah. Jika projek sakit berpunca daripada kontraktor dan mereka masih gagal meningkatkan prestasi, kita perlu serius dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita tidak mahu disebabkan kelemahan kontraktor, Sabah terus dikaitkan dengan projek sakit,” katanya.
Beliau turut menggesa semua agensi pelaksana meningkatkan pemantauan terhadap projek di bawah seliaan masing-masing serta bekerjasama menyelesaikan isu yang timbul bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual.

PENGHARGAAN …. Mustapha (tengah) menerima cenderamata yang disampaikan Timbalan Presiden MPT, Mohd Shoffian Mohd Said sempena lawatan kerja ke Tawau.






