Sukan MINDET perkukuh semangat kekitaan, kerjasama antara agensi

Oleh John Tambanan

KOTA KINABALU: Kejohanan Sukan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah menjadi wadah untuk memupuk semangat kekitaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga kementerian, selain memperkukuh kerjasama antara jabatan serta agensi di bawahnya.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata penganjuran kejohanan itu dicadangkan selepas beliau dilantik menerajui MINDET, khususnya susulan pertambahan portfolio serta agensi di bawah kementerian berkenaan.
“Saya mencadangkan agar Sukan MINDET diadakan bagi memupuk semangat kekitaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga MINDET, selain mengukuhkan kerjasama antara agensi,” katanya ketika melancarkan Kejohanan Sukan Badminton MINDET di Kompleks Yayasan Sabah, di sini, Sabtu lalu.
Kejohanan Sukan MINDET membabitkan pelbagai acara termasuk badminton, bola sepak, bola tampar, pickleball, golf, dart, boling, ping pong, karom, pool, olahraga dan tarik tali.
Ewon berkata, setiap jabatan dan agensi di bawah MINDET turut diberi peluang bergilir-gilir menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang dipertandingkan.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau turut mengambil contoh pertandingan akhir Piala Thomas 1992 sebagai bukti bagaimana sukan mampu menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
“Saya berharap melalui kejohanan ini, MINDET di bawah kepimpinan saya akan terus bersatu dan bekerjasama, bermula dengan Sukan MINDET ini, seterusnya memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah melalui perkhidmatan masing-masing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua warga MINDET yang menyertai kejohanan berkenaan, selain jawatankuasa dan urus setia yang bertungkus-lumus memastikan penganjurannya berjalan lancar.

Ewon bergambar bersama pasukan badminton Lembaga Pelabuhan Sabah (LPS) selepas melancarkan Kejohanan Sukan Badminton MINDET di Kompleks Yayasan Sabah, Kota Kinabalu, Sabtu lalu.