Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (Sedco) melancarkan Program RISE & S-SEED bagi memperkasa pembangunan serta meningkatkan daya saing usahawan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata program berkenaan adalah inisiatif Sedco, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah.
Beliau berkata, RISE atau Resilient, Innovative Sedco Entrepreneurs adalah program bimbingan perniagaan (business coaching), manakala S-SEED atau Strategic Entrepreneur Development Fund pula merupakan program pembiayaan keusahawanan.
“Saya menghargai inisiatif RISE dan S-SEED yang dilaksanakan Sedco, termasuk peruntukan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan tahunannya bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Program ini penting dalam membantu usahawan meningkatkan keupayaan, mengembangkan perniagaan serta meneroka pasaran yang lebih luas,” katanya ketika menyempurnakan majlis pelancaran program itu di Hyatt Regency, di sini, malam Jumaat.
Ewon berkata, Kerajaan Sabah melalui MINDET turut mengambil beberapa langkah bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri, termasuk penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera Sabah serta pembangunan dasar sokongan khusus kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mahu mengembangkan operasi di taman perindustrian, bermula di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).
Katanya, MINDET juga akan meneliti dan memperkenalkan program latihan keusahawanan yang lebih bersesuaian dengan keperluan serta cabaran semasa yang dihadapi golongan usahawan.
“Saya berharap 30 usahawan yang terpilih menyertai Program RISE dan S-SEED ini dapat membangunkan produk yang mampu menembusi pasaran dunia, termasuk mendapatkan pensijilan halal serta pendaftaran dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Ini penting bagi membantu produk usahawan Sabah berkembang ke peringkat lebih tinggi dan berdaya saing di pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan data pencapaian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara bagi 2025, sektor berkenaan menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, bersamaan RM689.8 bilion, selain menyediakan pekerjaan kepada kira-kira lapan juta orang atau 48.7 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara.
Katanya, usahawan Sabah turut memainkan peranan dalam menyumbang kepada prestasi sektor PMKS negara.
Hadir sama, Pengerusi Sedco, Datuk Masiung Banah; Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Datuk Ar. James Wong Kein Peng; timbalan-timbalan setiausaha tetap MINDET; ketua-ketua jabatan serta usahawan yang terbabit.

Ewon Benedick diiringi Masiung Banah dan James Wong Kein Peng meluangkan masa melawat gerai pameran produk usahawan Program RISE dan S-SEED sempena majlis pelancaran program berkenaan di Kota Kinabalu.






