Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Tindakan berani seorang lelaki merempuh kereta lain untuk meloloskan diri daripada polis gagal apabila dia berjaya ditahan dalam operasi di Jalan Penampang Baru, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun terbabit dilaporkan turut bertindak agresif sehingga bergelut dengan anggota polis sebelum diberkas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berjaya mengesan suspek yang memandu kereta Perodua Axia.
Katanya, pemeriksaan cuba dijalankan selepas kenderaan yang dipandu suspek disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Ketika pasukan operasi cuba menahannya, suspek bertindak merempuh sebuah Proton Saga yang menghalang laluannya dalam cubaan melarikan diri.
“Selepas kenderaan berjaya ditahan, suspek sekali lagi cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Alhusin berkata, pasukan serbuan terpaksa menggunakan kekerasan minimum sebelum berjaya menahan suspek.
Katanya, hasil soal siasat awal membawa kepada penemuan sebuah bekas lutsinar yang mengandungi paket plastik disyaki berisi dadah jenis ekstasi.
“Pemeriksaan lanjut menemui 11 paket plastik berwarna perak bertulisan ‘PUMPKINS’ dan berlogo labu mengandungi serbuk disyaki ekstasi dengan berat keseluruhan 370.74 gram.
“Polis turut merampas sebuah Perodua Axia dan telefon bimbit iPhone 15 Pro untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu bas pelancong dibawa bersama semua barang rampasan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan,” katanya.

- Dadah yang berjaya dirampas daripada suspek

2. Kenderaan yang dipandu suspek.







