Oleh JOHN TAMBANAN
TENOM: Sistem pengairan sawah padi di semua kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap akan dipertingkat dan disusun semula secara lebih efisien bagi membantu kelangsungan serta produktiviti pengusaha padi tempatan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada pengusaha padi di Kampung Kasiai, Kampung Langsat, Kampung Sawang, Kampung Jawa Sumbiling dan Kampung Babalang berhubung masalah sistem pengairan yang menjejaskan aktiviti penanaman padi.
“Sebagai contoh di Kampung Kasiai yang kita lawati kelmarin, pengusaha padi tidak dapat mengusahakan tanaman mereka kerana sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik.
“Banjir besar tahun lalu telah meruntuhkan tembok yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), seperti dimaklumkan oleh Jurutera JPS Daerah, Lahaman Dahing. Justeru, pembinaan semula akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.
Jamawi berkata, beliau akan memastikan semua kampung yang mempunyai kawasan sawah padi di DUN Melalap menerima bantuan penambahbaikan sistem pengairan secara berperingkat dan menyeluruh.
“Kita akan meluruskan sungai bagi memastikan bekalan air pengairan yang lebih teratur dan mencukupi, termasuk di Kampung Kasiai.
“Di Kampung Langsat pula, sistem pengairan masih tidak tersusun dan menggunakan kaedah lama seperti susunan batu dan guni, begitu juga di Kampung Sawang. Pendekatan ini perlu ditransformasikan supaya lebih mampan dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau sebuah projek pengairan yang siap dilaksanakan tahun lalu di Sungai Kampung Kalang, yang terbukti memberi impak positif terhadap penanaman padi di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Jurutera dan pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sanggup turun padang bersama-sama walaupun pada hujung minggu demi memastikan perancangan projek berjalan lancar.
Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin, serta kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Melalap.

TINJAU …. Jamawi (dua dari kiri) meninjau keadaan parit sawah padi di Jalan Langsat–Maas yang perlu diperbaiki bagi melancarkan aliran air ke kawasan sawah padi melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Langsat, Kampung Salapong dan Kampung Sawang.





