Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Sdn Bhd (KTC), syarikat pengedaran dan pembuatan terkemuka di Malaysia Timur, bersedia meluaskan operasinya ke rantau Indochina menerusi pelaburan strategik yang dijangka bermula tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dexter Lau berkata, jika segala perancangan berjalan lancar, KTC akan memulakan operasi dengan membuka perniagaan atau kilang di salah sebuah ibu kota di rantau Indochina seawal Oktober ini sebelum mengembangkan lagi operasi ke negara lain di rantau berkenaan.
Menurut beliau, pelaburan awal bagi projek itu dianggarkan antara RM20 juta hingga RM30 juta dengan memanfaatkan kepakaran KTC dalam sektor pembuatan dan eksport dari Malaysia Timur.
“Permintaan pengguna, khususnya bagi produk makanan di rantau Indochina, mempunyai banyak persamaan dengan pasaran Sabah. Keadaan ini memberi kelebihan kepada KTC untuk memperkukuh kehadiran di rantau tersebut,” katanya pada sidang media di sini.
Rantau Indochina merangkumi Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
Dexter berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi Persatuan Perniagaan Malaysia-Kemboja (MCBA) bagi Malaysia Timur turut membuka peluang lebih luas kepada KTC untuk menembusi pasaran baharu di rantau berkenaan.
Di bawah kepimpinan beliau, KTC berkembang daripada sebuah syarikat berpangkalan di Sabah kepada syarikat serantau yang kini beroperasi di Sarawak, Brunei, Semenanjung Malaysia dan Indonesia.
Selain kejayaan dalam bidang korporat, Dexter turut memainkan peranan aktif dalam pembangunan ekonomi dan perdagangan menerusi penglibatannya dalam Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), termasuk sebagai Presiden MCCC Sabah bagi penggal 2025 hingga 2028.
Beliau juga giat melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk program bantuan pakaian seragam sekolah, Jelajah Iftar Ramadan dan bantuan kepada golongan memerlukan serta mangsa bencana di Sabah.

Dexter Lau






