Wanita maut, Myvi rempuh premis di Tawau

Oleh JAMES LEONG


TAWAU: Polis sedang menyiasat dua kejadian berasingan, masing-masing melibatkan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dibunuh suaminya di Kalabakan serta kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Perodua Myvi yang merempuh premis perniagaan dan sebuah Toyota Innova yang diletakkan di Jalan Apas.
Dalam kejadian pertama, polis menerima laporan kira-kira jam 4.55 petang, 28 September lalu, mengenai seorang wanita yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah unit kuarters pekerja di sebuah ladang di Jalan Kalabakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata mangsa, wanita warga Indonesia berusia 37 tahun yang bekerja di ladang berkenaan, ditemui tidak sedarkan diri di premis itu sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kira-kira jam 8.16 malam.
Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa, seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun.
Menurutnya, suspek turut mengalami kecederaan di leher selepas dipercayai melibas dirinya sendiri menggunakan sebilah sabit dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, leher dan tangan. Polis turut menemui serta merampas beberapa barangan termasuk sebilah sabit dan sebatang kayu untuk siasatan,” katanya.
Siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga selepas pasangan berkenaan pulang daripada bercuti. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Polis meneruskan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis DNA, laporan perubatan serta bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.
Sebarang pengakuan awal yang dibuat suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Maliki Majuni, di talian 017-898 9171 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam kejadian kedua, Rosdi berkata polis menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi yang merempuh sebuah premis perniagaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang diletakkan di Lorong Bintang Shophouse 8, Batu 3, Jalan Apas, kira-kira jam 3.30 petang, 29 September lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Myvi, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun, dipercayai tertekan pedal minyak secara tidak sengaja ketika cuba keluar dari ruang parkir selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.
“Kenderaan itu kemudian bergerak secara tiba-tiba sebelum merempuh sebuah premis perniagaan. Dalam keadaan panik, pemandu cuba mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang diletakkan berhampiran,” katanya.
Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk, manakala pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu mendapati keputusan negatif dadah. Ujian pernafasan turut dijalankan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Mohd Hanafiah Mat Sari, di talian 019-886 7715 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Rosdi turut menasihatkan semua pengguna jalan raya, sama ada memandu kenderaan transmisi automatik atau manual, supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, memberikan perhatian sepenuhnya ketika mengendalikan pedal minyak dan brek serta memastikan gear berada pada kedudukan yang betul sebelum bergerak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Keadaan premis dan kenderaan selepas dirempuh Perodua Myvi di Batu 3, Jalan Apas, Tawau, pada Selasa.