Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, membawa agenda Sabah First dalam perbahasan Belanjawan 2027 dengan menekankan tuntutan hak perlembagaan Sabah, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
Beliau berkata, peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat dengan mengambil kira keunikan geografi, logistik dan sejarah negeri berkenaan.
“Saya hargai belanjawan besar yang diperuntukkan kepada Sabah. Tetapi ukuran sebenar ialah sama ada belanjawan ini benar-benar dirasai rakyat Sabah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat.
Mengenai hak 40 peratus hasil Sabah, Ewon mencadangkan pembayaran berdasarkan kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di negeri itu, sementara hasil lain terus dirundingkan.
Beliau berkata, kutipan kedua-dua agensi pada 2025 berjumlah RM7.547 bilion, menjadikan 40 peratus daripadanya sebanyak RM3.019 bilion. Sehubungan itu, beliau mencadangkan bayaran interim RM1.5 bilion dinaikkan kepada RM3.019 bilion, sambil menegaskan langkah itu bukan penyelesaian muktamad tuntutan berkenaan.
Ewon turut menggesa Jawatankuasa Tertinggi MA63 bersidang bagi memuktamadkan lima perkara tertangguh, termasuk royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, hak ke atas pelantar benua dan duti setem.
Dalam aspek pembangunan, beliau mencadangkan peruntukan Sabah disalurkan pada suku pertama tahun ini bagi mempercepat pelaksanaan projek. Beliau turut meminta penjelasan mengenai pembatalan tender 40 daripada 65 projek Jalan Luar Bandar di Sabah.
Selain itu, beliau mencadangkan POIC Lahad Datu dijadikan kawasan ekonomi khas BIMP-EAGA, memperluas sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta meningkatkan akses pendidikan, kesihatan dan bantuan kepada Anak Negeri Sabah.
Beliau juga menekankan keperluan menjamin sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, memperkukuh kebebasan beragama serta menyokong Tahun Melawat Sabah 2027.
Ewon menyatakan sokongan kepada Belanjawan 2027 dengan harapan cadangannya dipertimbangkan menerusi pendekatan “Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara” demi memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak.

Ewon menunjukkan isyarat “Sabah First” ketika membahaskan Belanjawan 2027.







