Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Tuntutan 40 peratus hasil Sabah adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bukannya satu bentuk ihsan atau geran, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, kedudukan itu tidak pernah dipertikaikan oleh Kerajaan Persekutuan, malah usaha melaksanakan perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan berkenaan, terus digerakkan secara berterusan melalui pelbagai platform rasmi.
Menurutnya, di peringkat Persekutuan, Kerajaan MADANI telah memperkukuh mekanisme pelaksanaan menerusi penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.
“Setakat ini, sebanyak 13 daripada 29 perkara telah diselesaikan, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan MA63 secara berperingkat tetapi konsisten,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah, yang menurutnya perlu dijelaskan secara tepat berdasarkan fakta serta kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Mustapha berkata, rundingan berhubung perkara itu kini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dengan penglibatan Kerajaan Negeri Sabah.
Katanya, jawatankuasa itu memberi tumpuan kepada pemuktamadan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih Persekutuan dari Sabah, selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Antara aspek diberi perhatian termasuk penyelarasan dan pengesahan data hasil melibatkan agensi utama seperti LHDN dan Jabatan Kastam bagi tempoh semasa serta terdahulu.
“Turut diteliti ialah isu ‘lost years’, iaitu tempoh bayaran yang belum diselesaikan sejak sekian lama dan memerlukan pendekatan adil serta dipersetujui bersama,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan turut meliputi mekanisme pelaksanaan secara berfasa bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara teratur dan berterusan.
Selain itu, katanya beberapa siri pertemuan dan mesyuarat penyelarasan telah diadakan bersama Kerajaan Negeri Sabah, termasuk Menteri Kewangan Sabah dan pegawai kanan Perbendaharaan Malaysia, bagi memperincikan hala tuju serta mempercepat proses pemuktamadan.
Menurutnya, pertukaran data antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 juga telah dilaksanakan, sekali gus mewujudkan asas kefahaman yang lebih jelas terhadap angka dan kaedah pengiraan terlibat.
Pada masa sama, kerajaan turut meningkatkan ketelusan serta pemantauan pelaksanaan MA63 melalui pembangunan Dashboard Status Pelaksanaan MA63.
“Fasa 1 telah dilaksanakan bagi membolehkan pemantauan asas kemajuan setiap perkara, manakala Fasa 2 sedang dibangunkan untuk memperluas fungsi termasuk pemantauan lebih terperinci, integrasi data antara agensi serta akses maklumat secara masa nyata,” katanya.
Mustapha berkata, semua usaha itu membuktikan rundingan yang berlangsung bukan bersifat statik, sebaliknya bergerak ke hadapan secara berstruktur dan berpaksikan fakta serta peruntukan Perlembagaan.
“Isu ini memerlukan pendekatan bertanggungjawab dan berorientasikan penyelesaian jangka panjang. Keutamaan kita adalah memastikan Sabah menerima haknya secara berkesan, bukan sekadar menjadi polemik politik.
“Pembayaran interim hanyalah penyelesaian sementara sehingga keputusan muktamad dicapai melalui persetujuan bersama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Sebarang usaha meningkatkan nilai pembayaran interim adalah wajar bagi memacu pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Mustapha Sakmud.






