Runner ‘Thai Mango’ dicekup polis

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dipercayai menjadi runner kepada sindiket pengedaran dadah ditahan polis dalam serbuan di kawasan Penampang, malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan dalam operasi jam 11.25 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang.
“Hasil risikan selama hampir 30 minit mendapati suspek sedang menunggu pelanggan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
“Suspek kemudian menyerahkan satu plastik hitam yang dipegangnya kepada pasukan operasi, dan pemeriksaan menemukan empat paket plastik putih bergambar buah-buahan bertulis Thai Mango berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 135.86 gram,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui satu paket kecil plastik lutsinar berisi 2.32 gram serbuk disyaki ketamin.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 138.18 gram dengan nilai pasaran sekitar RM3,350.
“Turut disita sebuah kereta jenis Nissan Almera dan satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pengedaran dadah berkenaan,” katanya.
Menurut Alhusin, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Benzodiazepine.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku menjadi runner kepada seorang lelaki sejak September lalu, yang menguruskan pengedaran ‘jus’ bercampur dadah dan pil ekstasi di pusat-pusat hiburan sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
“Polis kini giat mengesan individu yang dipercayai dalang utama sindiket, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

DITAHAN …. Suspek berusia 34 tahun ditahan bersama dadah jenis ekstasi bernilai RM3,350.