UMSKAL, KVL perkukuh kerjasama melalui perkongsian inovasi

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Kolej Vokasional Labuan (KVL) memperkukuh hubungan kerjasama menerusi Lawatan Penandaarasan Amalan Terbaik Inovasi Organisasi KVL ke kampus berkenaan, di sini.
Program itu dipengerusikan Pengarah UMSKAL, Prof Dr Shamsul Bahari Shamsudin dan bertujuan memberi pendedahan kepada warga KVL mengenai amalan terbaik, pendekatan pengurusan inovasi serta strategi membudayakan inovasi dalam organisasi.
Shamsul Bahari berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima kunjungan delegasi KVL dan berharap program berkenaan menjadi wadah untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi.
Katanya, perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik yang dilaksanakan di UMSKAL dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam usaha meningkatkan kecemerlangan organisasi.
“Program seperti ini bukan sahaja memperluas jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, malah membuka ruang untuk bertukar idea, mencetus kreativiti dan membina ekosistem inovasi yang lebih dinamik,” katanya.
Delegasi KVL diketuai Timbalan Pengarah Akademik, Awang Alik Saidil, bersama Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Dk Rubiah P Ibrahim serta 17 pensyarah.
Lawatan itu turut memberi peluang kepada delegasi KVL meninjau sekitar kampus UMSKAL, termasuk Balai Cerapan Anak Bulan di Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL.
Turut hadir Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Ricky Chia Chee Jiun; Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Profesor Madya Dr Muzaffar Hamzah serta pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB).
KVL berharap perkongsian sepanjang lawatan itu dapat diterjemahkan menerusi penambahbaikan berterusan, sekali gus memperkukuh budaya inovasi dan kecemerlangan organisasi.
Kerjasama berkenaan juga diharap terus berkembang, termasuk dalam bidang inovasi, pendidikan dan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

ALBUM …. Prof Dr Shamsul Bahari (lima kanan) dan Awang Alik (empat kanan) bersama delegasi KVL selepas lawatan ke UMSKAL.