Madius persoal sama ada Sabah dirunding sebelum RUU Pengangkutan Jalan dibentangkan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mempersoalkan sama ada Kerajaan Persekutuan telah mendapatkan pandangan rasmi, mengadakan rundingan serta memperoleh persetujuan Kerajaan Sabah sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, walaupun Akta Pengangkutan Jalan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, pelaksanaannya di Sabah berkait rapat dengan infrastruktur jalan raya yang sebahagian besarnya berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Lebih 5,000 kilometer jalan raya di Sabah diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, manakala beribu-ribu kilometer lagi diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Justeru, sebarang pindaan yang memberi kesan kepada aspek pengurusan dan pelaksanaan di lapangan sewajarnya mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Madius berkata, beliau tidak mempertikaikan kuasa Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang berkaitan pengangkutan jalan.
Namun, katanya, selaras dengan semangat federalisme serta menghormati kedudukan Sabah sebagai rakan pengasas Malaysia, Kerajaan Negeri wajar dilibatkan dalam proses perundingan sebelum sesuatu rang undang-undang dibentangkan.
“Rundingan, penglibatan dan persetujuan adalah penting sebelum mana-mana rang undang-undang yang memberi kesan secara langsung kepada pelaksanaan di peringkat negeri dibawa ke Parlimen.
“Kita tidak mahu undang-undang digubal di Putrajaya, tetapi cabaran pelaksanaannya akhirnya ditanggung oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tanpa penglibatan yang mencukupi dalam proses membuat keputusan,” tegas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan yang lebih inklusif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu memastikan dasar yang digubal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, selain mengambil kira realiti serta keperluan setempat.– John Tambanan

Foto – Madius Tangau