RANAU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, turun padang sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat bersempena Sambutan Pesta Menuai dan Hari Pelaksanaan Adat Kerungkapan di Kampung Tarawas, di sini pada Ahad.
Program selama dua hari itu turut melibatkan Kampung Tinaum dan Kampung Mangkapoh, menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang dalam semangat perpaduan dan muafakat.
Dr. Joachim bersama para tetamu menerima taklimat daripada Ketua Daerah, OKK Dominic Ghanie, yang menjelaskan bahawa istilah ‘rungkap’ berasal daripada bahasa Dusun, merujuk kepada individu luar yang bukan penduduk asal sesebuah kampung.
Menurut OKK Dominic, individu ‘orang rungkap’ dibenarkan mengusahakan tanah di kampung berkenaan bagi tujuan pertanian, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang kampung.
Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada para peserta rungkap yang diketuai Aliyu Zinin, atas kerjasama dan sumbangan mereka kepada pembangunan komuniti.
Dalam ucapannya, beliau mengumumkan pembinaan sebuah dewan mini untuk kegunaan masyarakat setempat serta pelaksanaan kerja-kerja pembaikan jalan di Kampung Tarawas dalam masa terdekat.
Majlis turut diserikan dengan perasmian dewan mini di Kampung Mangkapoh dan sambutan meriah Pesta Menuai.
“Program seperti ini membuka ruang untuk kita merapatkan hubungan sesama penduduk, berbincang isu kampung secara harmoni dan memperkukuh semangat perpaduan,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Selain itu, turut diadakan taklimat berkenaan Program PANTAS di Kampung Tinaum yang disampaikan oleh Setiausaha Sulit beliau, Japili Sami.-JT







