Masih banyak tanah perkampungan di Sook belum ada geran individu – Arthur
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Masih terdapat banyak tanah perkampungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook yang belum mempunyai geran individu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Katanya, lebih membimbangkan, terdapat dalam kalangan penduduk yang telah mendiami kawasan tersebut secara turun-temurun, merentasi beberapa generasi, namun masih belum menikmati hak pemilikan tanah yang sah.
“Janganlah kita menjadikan isu pemberian geran tanah ini sebagai bahan janji politik semata-mata setiap kali menjelang pilihan raya.
“Sebaliknya, kerajaan hendaklah bertindak secara proaktif dengan mempercepatkan proses permohonan melalui penyediaan peruntukan yang mencukupi, agar kerja-kerja pengukuran dapat dilaksanakan dengan segera dan hak rakyat dapat diselesaikan tanpa penangguhan,” katanya.
Arthur berkata, Kerajaan Negeri juga perlu memberikan perhatian serius ke atas isu jalan perhubungan kampung, jambatan, air dan tanah di Sook.
Katanya, terdapat beberapa jalan utama yang perlu diberi perhatian untuk dinaik taraf kepada jalan berturap aspal antaranya ialah Jalan Kampung Bunang, Jalan Kampung Karanaan, dan Jalan Kampung Johan Jaya.
“Kelewatan menaik taraf jalan-jalan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan penduduk, malah memberi implikasi besar terhadap keselamatan pengguna jalan raya, akses ke sekolah, kemudahan kesihatan serta aktiviti ekonomi harian penduduk.
“Justeru, alasan kekangan peruntukan atau perancangan berperingkat tidak lagi wajar dijadikan justifikasi untuk menangguhkan keperluan asas rakyat.
“Oleh yang demikian, saya menuntut penjelasan yang jelas dan terperinci daripada pihak Jabatan Kerja Raya berhubung senarai jalan dan jambatan di kawasan DUN Sook yang telah disenarai pendek serta diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), termasuk garis masa pelaksanaan serta peruntukan yang telah diperuntukkan bagi memastikan projek-projek ini benar-benar dilaksanakan, bukan sekadar diluluskan di atas kertas,” katanya semasa di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri(DUN) ke-17.
Dalam pada itu katanya, mengenai isu bekalan air bersih di DUN Sook yang sehingga hari ini masih berada pada tahap membimbangkan.
Menurutnya, setiap kali hujan lebat dan banjir berlaku, penduduk Daerah Sook terus berdepan dengan gangguan dan terputus bekalan air akibat ketidakupayaan sistem pam sedia ada untuk beroperasi dengan baik.
“Saya memohon perhatian serius daripada pihak Jabatan Bekalan Air agar dapat mempertimbangkan naik taraf sistem dan peralatan pam utama di Loji Air Pekan Sook.
“Ia bagi membolehkan kapasiti pemprosesan air ditingkatkan daripada 2 juta liter sehari kepada 4 juta liter sehari demi menjamin bekalan air yang lebih stabil dan mencukupi kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar satu jawatankuasa khas yang terdiri dari wakil kerajaan dan pembangkang ditubuhkan bagi memantau secara terus mengenai infrastruktur dan utiliti rakyat.

Arthur Joseph Kurup







