JBPM Keluar Notis Premis Kedai Diubah Suai Jadi Bilik Sewa.

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan notis terhadap premis kedai yang dikesan diubah suai menjadi bilik sewa tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Malah hasil pemeriksaan mendapati premis yang menempatkan sehingga 10 bilik sewa itu bukan sahaja mengundang risiko kebakaran tetapi juga berpotensi menjadi perangkap sekiranya berlaku kebakaran.
Hasil pemantauan, semua ruang bilik berkenaan didapati dibina menggunakan bahan mudah terbakar seperti papan lapis selain laluan keluar terlalu sempit.
Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, operasi bersepadu Op Asrama Selamat itu memeriksa dua blok bangunan merangkumi enam unit premis yang dijadikan tempat penginapan.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis yang berkenaan diubah suai secara tidak selamat dengan membina lapan hingga 10 bilik dalam setiap unit itu gagal menepati aspek pencegahan keselamatan kebakaran.
“Pemeriksaan turut mendapati beberapa premis berkenaan tidak menyediakan kelengkapan asas keselamatan kebakaran termasuk lampu kecemasan dan alat pemadam api mudah alih.
“Keadaan pendawaian elektrik di premis ini juga membimbangkan, lebih-lebih lagi dengan penggunaan pelbagai peralatan elektrik termasuk penghawa dingin,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan selesai.
Mohd Pizar berkata, JBPM turut mengesan peralatan memasak elektrik dan barangan keperluan memasak yang disimpan di bawah katil yang menunjukkan aktiviti memasak di dalam bilik penginapan.
“Keadaan ini sangat berisiko kerana kebakaran boleh berpunca daripada pendawaian yang tidak terurus atau penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan serta peralatan memasak ditempat tidak sesuai,” katanya.
Menurutnya, setiap pengubahsuaian premis perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan semua keperluan keselamatan dipatuhi.
Sehubungan itu, Mohd Pisar berkata, JBPM Sabah akan mengeluarkan notis penghapusan bahaya kebakaran mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) terhadap premis yang dikenal pasti mempunyai pelanggaran keperluan keselamatan.
“Notis akan dikeluarkan bagi memastikan pemilik atau pengusaha mengambil tindakan menghapuskan bahaya kebakaran serta memenuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan.
“Operasi ini tidak terhenti di sini, sebaliknya akan diteruskan di kawasan lain bagi memastikan keselamatan penghuni sentiasa terpelihara,” katanya.

Pasukan bomba melakukan pemeriksaan di beberapa premis perniagaan yang diubah suai menjadi bilik sewa.