PAITAN : Masyarakat diminta memastikan Jalur Gemilang dan bendera Sabah dikibarkan dengan tatacara yang betul serta tidak dipasang secara terbalik sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah 2026.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, pihaknya memikul tanggungjawab dan amanah untuk terus menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, termasuk memberi penerangan kepada masyarakat mengenai tatacara pengibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah.
“Perkara ini turut diberi perhatian ketika Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 bergerak ke daerah-daerah di Sabah termasuk Paitan.
“Kami juga memohon untuk tidak mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah terbalik dan dipasang dengan tatacara yang betul,” katanya ketika berucap pada sambutan KMJG dan Hari Sabah 2026 Daerah Paitan di Dewan Datuk James Ratib, di sini, pada Khamis.
Jainisah berkata, pihaknya mengajak masyarakat khususnya di daerah Paitan untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah.
“KMJG pada tahun ini turut melebihkan aktiviti bersama komuniti termasuk walkabout dan edaran bendera di premis perniagaan serta kampung-kampung.
“Kita membuat walkabout edaran bendera di premis perniagaan, di kampung-kampung supaya kibaran Jalur Gemilang dan juga bendera Sabah itu banyak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jainisah menjelaskan kecintaan terhadap Sabah juga tidak mengurangkan rasa sayang kepada Malaysia.
“Kita juga tekankan menyayangi negeri Sabah itu tidak sekali-kali akan mengurangkan rasa sayang kita kepada negara kita Malaysia,” tambahnya.
Program tersebut dirasmikan oleh wakil Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga ADUN Sugut, Justinus Jalang.
Turut hadir, Pegawai Daerah Beluran, Roger Apolonius, Ketua Polis Daerah Beluran, SUPT Hasan Majid dan Komander Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pegawai Memerintah Kapal Maritim Banggi, Mahathir Mohammad.-Penerangan.

KENANGAN….Jainisah (belakang, empat dari kiri) bergambar kenangan bersama Komuniti Paitan.

Jainisah ketika menyampaikan ucapan.







